Hijrah Mencari Nilai-nilai Kehidupan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Segala hamdalah untuk Allah s.w.t, Tuhan yang tidak pernah tidur, yang senantiasa mentadbir alam. Selawat dan salam keatas Rasul junjungan yang mulia, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan sahabat baginda serta tabi’in seluruhnya.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.  [Al-Bukhari & Muslim]



Seminggu berada di tempat orang, berhijrah mencari nilai-ilai kehidupan yang baru. Dari sebuah kota ke pinggiran kampung, sudah pasti ada sesuatu yang boleh diceduk sebagai pengalaman yang bererti. Bagi yang mahu berfikir dan berkehendakkan hidayah, Allah pasti membuka hijabNya. Namun bagi mereka yang enggan, hijrah tidak memberi apa-apa kesan pada hidupnya, tidak lebih dari sekadar perpindahan yang kosong.

Hijrah. Setiap hari adalah hari baru untuk sebuah kehidupan. Seorang mu’min yang beriman, hari ini semestinya lebih baik dari semalam. Statik bukan ciri orang mu’min, bahkan ia bersifat dinamik dan terus berkembang tiada hujungnya sehinggalah ia kembali kepada Tuhannya. Justeru, hijrah adalah interpretasi kepada dinamiknya Islam. Dinamiknya ia, bukan ke arah kejatuhan sebaliknya yang dituntut adalah hijrah kepada kebaikan dan peningkatan selaras kehendak wahyu.

Begitulah sifat yang seharusnya didokong oleh sebuah gerakan Islam. PAPISMA ibarat kenderaan yang menjadi alat pengangkutan hijrah kita ke destinasi akhir. Kita sebagai pengemudi kenderaan, seharusnya bukan sahaja lengkap dengan ilmu bagaimana ingin mengendalikan enjin, tayar kenderaan, bahkan tentunya perlu jelas ke mana sebenarnya ingin dibawa kenderaan tersebut. Tiada guna, kereta yang punya enjin berkuasa tinggi lengkap dengan pelbagai aksesori, namun kerana buta dengan jalan, berakhir riwayatnya dalam gaung. Na’uzubillah.

PAPISMA adalah peluang terbesar. Enjinnya adalah enjin terhebat di pasaran. Besi buatannya adalah yang  termahal. Aksesorinya mengalahkan seluruh produk yang direka. Pendek kata, tiada satu pun kereta yang mampu mengalahkannya. Kini, tinggal sahaja siapa pemandu dan penumpangnya. Andai hebat pemandu dan penumpangnya, maka bertambah ‘gah’ PAPISMA di seluruh pasaran dunia.


Begitulah harapan kita. Semestinya kita perlu mempunyai wawasan yang tinggi dan jauh. Jika rendah wawasan kita, maka usaha ke arahnya jua tidak sekuat mana. Sebaliknya, jika tinggi misi kita, automatik usaha dan ikhtiar kita akan lebih agresif dan bersungguh untuk sampai kepada wawasan yang dituju. Justeru kita melihat kebanyakan orang yang hebat, wawasan mereka bukan kecil-kecil, bahkan kadang-kadang tidak pernah terfikir pun oleh orang biasa.

Setiap orang berpeluang menjadi orang yang hebat. Apatah kita sebagai orang Islam, tentunya ia adalah dituntut bagi meninggikan syiar agama Allah di muka bumi. Befungsilah kalian di posisi masing-masing. Pakar, ‘master student’, ‘medical officer’, ‘houseman’, ‘staff nurse’, pegawai farmasi dan kesihatan, kesemuanya ada potensi untuk menyumbang. Pastikan anda adalah yang terhebat ! Hebat yang menyeluruh, mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah.

Kita mahukan, seorang professor yang boleh memberi arahan kepada ‘MO dan HO’ nya ketika pembedahan, untuk ‘unscrub’ dan pergi menunaikan solat. Kita mahukan, seorang ‘best student postgrad’ yang mengepalai ‘HO’ bertanyakan ibadah pesakit ketika ‘ward round’. Kita mahukan ‘excellent’ HO yang tidak mengabaikan waktu solatnya ketika berada di ‘labour room’. Kita mahukan semuanya menjadi yang terbaik, seiring kebaikan dunia dan akhirat.

Ayuh,tidak perlu lagi kita toleh ke belakang, hadapi hari ini dan bersedia untuk hari esok.Semoga hari-hari baru muncul dengan sinar yang lebih cerah. Behijrahlah.

Dr Noor Hidayah Abdullah@Abd Wahab,
Setiausaha PAPISMA Kelantan
Jabatan Orthopaedik Hospital Kuala Krai, Kelantan
Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
Damitri
admin
May 29, 2011 at 2:03 AM ×

Satu pendekatan yang cukup mantap dan hebat...

Allahuakbar!!

Congrats bro Damitri you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar