Kelantan Laksana IKBAR

KOTA BHARU 18 April - Kelantan akan melaksanakan satu gerak kerja dikenali sebagai Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) bagi melindungi tiga perempat rakyat di negeri ini yang tidak merokok. Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata, menerusi IKBAR, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah mewujudkan beberapa kawasan bebas asap rokok di kawasan pentadbiran masing-masing. 

'Inisiatif ini pada awalnya dilaksanakan di peringkat Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). 'Bagaimanapun selepas melihat perkembangannya, kita optimis untuk memperluaskan IKBAR ke seluruh ne-geri dengan penglibatan semua PBT,' katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood serta Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir.

Menurut Ahmad, sebagai permulaan, IKBAR dilaksanakan di kawasan pentadbiran MPKB-BRI melibatkan dua zon iaitu Dataran Ilmu dan lokasi merangkumi Stesen Bas Kota Bharu hingga ke Tambatan Diraja. 'Kita berharap ketua-ketua jabatan agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyokong usaha ini dengan memastikan kawasan masing-masing bebas daripada asap rokok. 'Selain itu, kita minta pemimpin setempat termasuk imam-imam serta ketua rumah ibadat lain menguar-uarkan perkara ini kepada orang ramai dari semasa ke semasa,' katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah memberitahu, peringkat awal pelaksanaan IKBAR memberi tumpuan kepada usaha memberi kesedaran orang ramai tentang zon bebas asap rokok, bukan menghukum perokok. Katanya, kawasan yang diwartakan sebagai zon bebas asap rokok boleh dikenal pasti dengan mudah oleh orang ramai menerusi pemasangan papan tanda khas.

Previous
Next Post »