Karya Pimpinan

Friday, June 10, 2011

Organisasi Islam, Organisasi Berkebajikan

 

Ajaran Islam tidak sama sekali dapat dipisahkan dengan elemen kebajikan. Ini terbukti berdasarkan firman-firman Allah yang terkandung dalam ayat-ayat suci Al-quran yang menganjurkan umat Islam supaya senantiasa berlaku adil, bersikap ihsan, beramal soleh serta saling membantu menganjurkan kebaikan & mencegah kemungkaran demi mendapatkan baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur.


Istilah ‘berkebajikan’ ini sangat luas skopnya. Dari kaca mata pentadbiran, sesebuah negara dikatakan negara berkebajikan apabila “kerajaan mengambil tanggungjawab dalam perkara yang menjadi rukun hidup, keperluan asasi kemudahan asas, makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan lain-lain”. Ini termasuklah melaksanakan agenda membetulkan fahaman yang salah, membetulkan salah urus ekonomi & memimpin rakyat melaksanakan islah.

Dalam melestarikan agenda-agenda pemerintahan Islam, terdapat satu keperluan yang mendesak terhadap kewujudan organisasi-organisasi Islam berkebajikan. Kemunculan PAPISMA sebagai sebuah NGO Muslim professional yang sedari awal mendokong agenda kebajikan merupakan satu peluang yang tidak harus diperlekehkan. Di sinilah pentingnya peranan ahli yang kuat serta mempunyai kefahaman yang jelas dalam menggerakkan organisasi bagi membawa mesej Islam kepada ummah & pada masa yang sama mengutamakan aspek kebajikan dalam setiap tindakan.

Mari kita umpamakan diri kita sebagai seorang pesakit yang menghidap penyakit kronik. Sebagai pesakit, hati kita pastinya akan tertawan dengan perilaku seorang doctor, pegawai farmasi atau jururawat yang tidak hanya mengambil berat terhadap status kesihatan fizikal kita bahkan turut merawat mental & rohani kita yang kadang-kadang tewas dengan godaan syaitan supaya berputus asa daripada rahmat Allah.

Justeru, konsep berkebajikan dalam membina daulah Islamiyyah sebenarnya tidaklah merencatkan mesej Islam yang dibawa, malah menaikkan lagi keizzahan Islam itu sendiri. Biarlah kewujudan kita (PAPISMA) membekas di jiwa ummah (al-hudhuur al-muatsar)!

Timbalan Setiausaha PAPISMA Kelantan,
Puan Nur Asiyah Binti Mustapha Kamil

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Wednesday, May 18, 2011


Hijrah Mencari Nilai-nilai Kehidupan

 

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Segala hamdalah untuk Allah s.w.t, Tuhan yang tidak pernah tidur, yang senantiasa mentadbir alam. Selawat dan salam keatas Rasul junjungan yang mulia, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan sahabat baginda serta tabi’in seluruhnya.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.  [Al-Bukhari & Muslim]



Seminggu berada di tempat orang, berhijrah mencari nilai-ilai kehidupan yang baru. Dari sebuah kota ke pinggiran kampung, sudah pasti ada sesuatu yang boleh diceduk sebagai pengalaman yang bererti. Bagi yang mahu berfikir dan berkehendakkan hidayah, Allah pasti membuka hijabNya. Namun bagi mereka yang enggan, hijrah tidak memberi apa-apa kesan pada hidupnya, tidak lebih dari sekadar perpindahan yang kosong.

Hijrah. Setiap hari adalah hari baru untuk sebuah kehidupan. Seorang mu’min yang beriman, hari ini semestinya lebih baik dari semalam. Statik bukan ciri orang mu’min, bahkan ia bersifat dinamik dan terus berkembang tiada hujungnya sehinggalah ia kembali kepada Tuhannya. Justeru, hijrah adalah interpretasi kepada dinamiknya Islam. Dinamiknya ia, bukan ke arah kejatuhan sebaliknya yang dituntut adalah hijrah kepada kebaikan dan peningkatan selaras kehendak wahyu.

Begitulah sifat yang seharusnya didokong oleh sebuah gerakan Islam. PAPISMA ibarat kenderaan yang menjadi alat pengangkutan hijrah kita ke destinasi akhir. Kita sebagai pengemudi kenderaan, seharusnya bukan sahaja lengkap dengan ilmu bagaimana ingin mengendalikan enjin, tayar kenderaan, bahkan tentunya perlu jelas ke mana sebenarnya ingin dibawa kenderaan tersebut. Tiada guna, kereta yang punya enjin berkuasa tinggi lengkap dengan pelbagai aksesori, namun kerana buta dengan jalan, berakhir riwayatnya dalam gaung. Na’uzubillah.

PAPISMA adalah peluang terbesar. Enjinnya adalah enjin terhebat di pasaran. Besi buatannya adalah yang  termahal. Aksesorinya mengalahkan seluruh produk yang direka. Pendek kata, tiada satu pun kereta yang mampu mengalahkannya. Kini, tinggal sahaja siapa pemandu dan penumpangnya. Andai hebat pemandu dan penumpangnya, maka bertambah ‘gah’ PAPISMA di seluruh pasaran dunia.


Begitulah harapan kita. Semestinya kita perlu mempunyai wawasan yang tinggi dan jauh. Jika rendah wawasan kita, maka usaha ke arahnya jua tidak sekuat mana. Sebaliknya, jika tinggi misi kita, automatik usaha dan ikhtiar kita akan lebih agresif dan bersungguh untuk sampai kepada wawasan yang dituju. Justeru kita melihat kebanyakan orang yang hebat, wawasan mereka bukan kecil-kecil, bahkan kadang-kadang tidak pernah terfikir pun oleh orang biasa.

Setiap orang berpeluang menjadi orang yang hebat. Apatah kita sebagai orang Islam, tentunya ia adalah dituntut bagi meninggikan syiar agama Allah di muka bumi. Befungsilah kalian di posisi masing-masing. Pakar, ‘master student’, ‘medical officer’, ‘houseman’, ‘staff nurse’, pegawai farmasi dan kesihatan, kesemuanya ada potensi untuk menyumbang. Pastikan anda adalah yang terhebat ! Hebat yang menyeluruh, mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah.

Kita mahukan, seorang professor yang boleh memberi arahan kepada ‘MO dan HO’ nya ketika pembedahan, untuk ‘unscrub’ dan pergi menunaikan solat. Kita mahukan, seorang ‘best student postgrad’ yang mengepalai ‘HO’ bertanyakan ibadah pesakit ketika ‘ward round’. Kita mahukan ‘excellent’ HO yang tidak mengabaikan waktu solatnya ketika berada di ‘labour room’. Kita mahukan semuanya menjadi yang terbaik, seiring kebaikan dunia dan akhirat.

Ayuh,tidak perlu lagi kita toleh ke belakang, hadapi hari ini dan bersedia untuk hari esok.Semoga hari-hari baru muncul dengan sinar yang lebih cerah. Behijrahlah.

Dr Noor Hidayah Abdullah@Abd Wahab,
Setiausaha PAPISMA Kelantan
Jabatan Orthopaedik Hospital Kuala Krai, Kelantan

----------------------------------------------------------------------------------------------

Saturday, April 2, 2011


Ibnu Sina Tokoh merawat Penyakit Rohani & Jasmani: Itulah Niat PAPISMA

 

Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah syukur kepada ALLAH S.W.T di atas nikmat yang telah diberikan kepada kita. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W . Rasullullah utusan agung ALLAH kepada umat manusia.

Alhamdulillah jawatan selaku Timbalan Pengerusi PAPISMA Kelantan ini merupakan amanah ALLAH kepada saya bertujuan untuk menguji manusia sejauh manakah iman hambanya. InsyALLAH dengan kemampuan yang ALLAH berikan akan dijalankan amanah ini sebaik mungkin.

Apabila kita menyebut nama PAPISMA lazimnya apa yang terlintas dalam pemikiran ialah NGO yang menganjurkan program-program yang bercorakan kepada perubatan & kesihatan untuk merawat penyakit  contohnya khidmat kesihatan, berkhatan dan sebagainya.
A082 
Lazimnya penyakit dalam dunia ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis, penyakit jasmani dan penyakit rohani. Ramai manusia yang tidak sedar bahawa penyakit yang paling susah untuk diubati ialah penyakit rohani. Allah berfirman dalam Al-Quran: 

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Al-Israa' 17:82)
Penyakit jasmani biasanya akan disedari dengan tanda sakit dan jelas seperti demam, diabetes, jantung, stroke dan sebagainya. Penyakit jenis ini boleh diubati dengan berjumpa doktor di hospital ataupun klinik dengan izin ALLAH. Doktor akan bagi ubat pada kadar dos yang telah ditetapkan.  Tetapi orang yang berpenyakit rohani ini tidak sedar yang dia sedang berpenyakit.  Mereka yang berpenyakit ini sentiasa sihat dan cergas. 

Tidak ada petanda jelas yang menunjukan dia sedang sakit dan sakitnya berada pada tahap yang kronik. Antara contoh penyakit rohani adalah sombong, riak, takabbur,  bakhil, dendam, suka kepada dunia, berprasangka buruk (negative) dan banyak lagi. Penyakit rohani yang paling teruk adalah munafik. Munafik bermaksud menyembunyikan kekufuran dalam hatinya dan menyatakan iman dengan lidahnya seperti firman Allah:


“Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian, padahal mereka sebenarnya bukan orang beriman. Mereka hendak menipu Tuhan dan orang beriman, dan tiadalah mereka tipu melainkan diri mereka sendiri, akan tetapi mereka tiada sedar. Di hati mereka ada penyakit, dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih, kerana mereka telah berdusta.” (Al-Baqarah 8,9 &10:286)

Oleh itu saya menyeru kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian, disamping kita memberikan rawatan untuk penyakit jasmani, mulai dari saat ini kita juga mampu untuk memberi rawatan  penyakit rohani dengan cara memberi  nasihat melalui taubat dan beristighfar. Bertaubat bermaksud sedar dan terus berhenti daripada mempunyai sifat mazmumah, membencinya dengan sepenuh hati dan tidak mungkin akan mengulanginya. Selalu berdoa memohon perlindungan Allah apabila diganggu syaitan, boleh mengelak daripada terkena cengkaman penyakit rohani. Itulah kelebihan yang ada pada ahli PAPISMA.

InsyALLAH ahli PAPISMA akan menjadi doktor pakar  yang hebat merawat pesakit jasmani dan pada yang sama mempunyai ilmu agama dan mampu memberikan pandangan dan idea berkenaan dengan ISLAM sebagaimana hebat Ibnu Sina seorang ahli perubatan kelas pertama dan ahli sufi yang terkenal. Saya rasa kerana itulah PAPISMA memilih nama Ibnu Sina seorang yang hebat pakar dalam pelbagai bidang antaranya bidang falsafah, kedoktoran, geometri, astronomi, muzik, syair, teologi, politik, matematik, fizik, kimia, sastera dan kosmologi.

Akhir kalam mari lah sama-sama kita meningkatkan ilmu fardhu ain kita dengan menghadiri  kelas-kelas belajar agama di masjid dan juga usrah yang ada disekeliling kita.

Sirrualaabarakatillah.

Terima kasih, wassalam

saintispath@gmail.com
 ----------------------------------------------------------------------------------------------

Saturday, February 26, 2011


Perutusan Sulung Pengerusi PAPISMA Kelantan Sesi 2011/13

 

“MANTAP JATIDIRI, MANTAP AMAL JAMA’AI”

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan kamu dalam agama Islam
                                                                                                                      Ali-Imran : 120


Alhamdulillah, merafak syukur kepada pencipta yang Maha Esa di atas segala kurniaanNYA selama ini. Sesungguhnya setiap muslim memerlukan petunjuk daripada penciptaNYA, sebab itu dalam sehari kita mengulangi berulang kali kalimah dalam surah Al-Fatihah yang bermaksud “ Tunjukkan kami jalan yang lurus “…kerana kita amat2 memerlukan pimpinan daripada Allah swt dalam menjalankan aktiviti seharian kita.

Kita semua menyedari bahawa amat penting asas yang kita bina dalam diri sebelum ini yang membentuk “world view” dalam diri kerana ini akan menzahirkan secara phenotypenya diri kita kepada jemaah & masyarakat. Mungkin adakalanya terjadi polymorphism kerana kacukan namun “world view” atau “genotype” perlu konsisten & dilatih sentiasa agar terus mekar & berkembang dalam diri. “World view” yang saya maksudkan adalah jatidiri. Asas jatidiri adalah taqwa, kerana akan menghasilkan jiwa yang penuh ketenangan & kesejahteraan. Ketenangan bukan boleh dibeli di pasar raya atau di jalan raya tetapi ketenangan adalah anugerah Allah swt kepada hambaNYA yang sentiasa bersyukur. Impaknya cukup besar kepada jemaah andai jatidiri ini dicerahi & diperkasakan berlandaskan ajaran Islam yang suci.

Justeru saya mengajak semua, untuk sama-sama memantapkan jatidiri kerana dengannya diri kita akan sentiasa proaktif dan berdaya saing dalam menempuh arus perdana bersama PAPISMA. Tahniah kepada semua pimpinan baru papisma Kelantan 2011/13 yang dipilih baru-baru ini, sesungguhnya kami bukanlah yang terbaik dikalangan semua, justeru amat perlu bagi kami mendapat sokongan & dokongan daripada semua ahli di Kelantan dalam menjayakan misi PAPISMA dan pohon diberi tunjuk ajar. Harapan saya agar ajk yang dilantik dapat memberi komitmen setakat termampu. Kepada ajk sesi lepas yang diketuai Dr Hisyam terima kasih diucapkan di atas khidmat cemerlang yang diberikan, semoga Allah swt menjadikan kerja kita sebagai ibadah kepadaNYA. Akhir kata marilah sama-sama kita menghayati tema “MANTAP JATIDIRI,MANTAP AMAL JAMA’AI” semoga PAPISMA Kelantan terus berada di hati ahli-ahlinya.

Ibnu Fauzi
Jumaat
22 Rabiul Awal 1432H/25 Februari 2011