Ibnu Sina Tokoh merawat Penyakit Rohani & Jasmani: Itulah Niat PAPISMA

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah syukur kepada ALLAH S.W.T di atas nikmat yang telah diberikan kepada kita. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W . Rasullullah utusan agung ALLAH kepada umat manusia.

Alhamdulillah jawatan selaku Timbalan Pengerusi PAPISMA Kelantan ini merupakan amanah ALLAH kepada saya bertujuan untuk menguji manusia sejauh manakah iman hambanya. InsyALLAH dengan kemampuan yang ALLAH berikan akan dijalankan amanah ini sebaik mungkin.

Apabila kita menyebut nama PAPISMA lazimnya apa yang terlintas dalam pemikiran ialah NGO yang menganjurkan program-program yang bercorakan kepada perubatan & kesihatan untuk merawat penyakit  contohnya khidmat kesihatan, berkhatan dan sebagainya.
A082 
Lazimnya penyakit dalam dunia ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis, penyakit jasmani dan penyakit rohani. Ramai manusia yang tidak sedar bahawa penyakit yang paling susah untuk diubati ialah penyakit rohani. Allah berfirman dalam Al-Quran: 

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Al-Israa' 17:82)

Penyakit jasmani biasanya akan disedari dengan tanda sakit dan jelas seperti demam, diabetes, jantung, stroke dan sebagainya. Penyakit jenis ini boleh diubati dengan berjumpa doktor di hospital ataupun klinik dengan izin ALLAH. Doktor akan bagi ubat pada kadar dos yang telah ditetapkan.  Tetapi orang yang berpenyakit rohani ini tidak sedar yang dia sedang berpenyakit.  Mereka yang berpenyakit ini sentiasa sihat dan cergas. 

Tidak ada petanda jelas yang menunjukan dia sedang sakit dan sakitnya berada pada tahap yang kronik. Antara contoh penyakit rohani adalah sombong, riak, takabbur,  bakhil, dendam, suka kepada dunia, berprasangka buruk (negative) dan banyak lagi. Penyakit rohani yang paling teruk adalah munafik. Munafik bermaksud menyembunyikan kekufuran dalam hatinya dan menyatakan iman dengan lidahnya seperti firman Allah:


“Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian, padahal mereka sebenarnya bukan orang beriman. Mereka hendak menipu Tuhan dan orang beriman, dan tiadalah mereka tipu melainkan diri mereka sendiri, akan tetapi mereka tiada sedar. Di hati mereka ada penyakit, dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih, kerana mereka telah berdusta.” (Al-Baqarah 8,9 &10:286)

Oleh itu saya menyeru kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian, disamping kita memberikan rawatan untuk penyakit jasmani, mulai dari saat ini kita juga mampu untuk memberi rawatan  penyakit rohani dengan cara memberi  nasihat melalui taubat dan beristighfar. Bertaubat bermaksud sedar dan terus berhenti daripada mempunyai sifat mazmumah, membencinya dengan sepenuh hati dan tidak mungkin akan mengulanginya. Selalu berdoa memohon perlindungan Allah apabila diganggu syaitan, boleh mengelak daripada terkena cengkaman penyakit rohani. Itulah kelebihan yang ada pada ahli PAPISMA.

InsyALLAH ahli PAPISMA akan menjadi doktor pakar  yang hebat merawat pesakit jasmani dan pada yang sama mempunyai ilmu agama dan mampu memberikan pandangan dan idea berkenaan dengan ISLAM sebagaimana hebat Ibnu Sina seorang ahli perubatan kelas pertama dan ahli sufi yang terkenal. Saya rasa kerana itulah PAPISMA memilih nama Ibnu Sina seorang yang hebat pakar dalam pelbagai bidang antaranya bidang falsafah, kedoktoran, geometri, astronomi, muzik, syair, teologi, politik, matematik, fizik, kimia, sastera dan kosmologi.

Akhir kalam mari lah sama-sama kita meningkatkan ilmu fardhu ain kita dengan menghadiri  kelas-kelas belajar agama di masjid dan juga usrah yang ada disekeliling kita.

Sirrualaabarakatillah.

Terima kasih, wassalam

saintispath@gmail.com
Previous
Next Post »